Di suatu masa
dahulu, terdapat seorang alim ulamak yang tersohor kerana ilmu dan amalannya.
Beliau adalah seorang penghafal Al-Quran dan juga penghafal beribu-ribu hadith
sahih semenjak kecil lagi. Dan semenjak kecil lagi,beliau telah di hantar oleh
kedua ibu dan bapanya untuk menuntut di Mekkah dan Madinah selama berpuluh
tahun lamanya.
Bapanya juga
adalah seorang alim ulamak yang pernah mengembangkan agama Islam sampai ke
negara selatan Siam,Mengikut ceritanya, bapanya adalah orang pertama di zaman
moden ini yang bukan daripada warga Arab Saudi diberi penghargaan mengimamkan
solat fardhu di Masjidil Haram, Mekkah. Nak dijadikan cerita, pada suatu masa,
alim ulamak tersebut telah jatuh sakit lalu tidak dapat untuk mengimamkan solat
fardhu di suraunya.
Maka tiba-tiba
datanglah seorang yang berpakaian buruk (seolah-olah kelihatan tidak siuman)
sejurus sebelum solat fardhu di laksanakan.Alim ulamak tersebut telah meminta
supaya orang yang berpakaian buruk tersebut untuk menggantikannya menjadi imam!
Setelah solat fardhu selesai, maka orang yang berpakaian buruk tersebut telah
memohon untuk mengundur diri. Kelihatan senyuman terukir pada wajah murid -
murid alim ulamak tersebut kerana semasa sembahyang fardhu tadi, orang yang
berpakaian koyak tersebut tidak membaca surah fatihah dan surah yang lain
dengan tajwid yang betul.Mereka tidak biasa dengan keadaan sebegitu kerana guru
mereka, yaitu alim ulamak tersebut, adalah seorang yang fasih dalam berbahasa
arab serta mempunyai bacaan tajwid yang sungguh baik sekali (maklumlah seorang
al-hafiz dan sudah berpuluh tahun belajar di Mekkah).
Maka alim ulamak
tersebut telah bersalaman dan berpelukan dengan orang yang berpakaian buruk
tersebut sebelum orang yang berpakaian buruk meninggalkan surau. Setelah itu,
alim ulamak memanggil keseluruh muridnya berkumpul dihadapannya lalu beliau
telah bercerita :Pernah berlaku di suatu kampung di timur tengah dimana
terdapat seorang pengembala kibas yang sangat alim, sangat suka merendahkan
diri dan suka menolong penduduk kampung sekiranya di minta pertolongan. Cuma
yang peliknya, ternakan kibasnya yang di kurung didalam sebuah kandang yang
serdehana besar itu tidak pernah luak walau banyak mana sekalipun orang datang
untuk membeli kibas daripadanya. Belilah sampai seratus ekor sekalipun, setelah
kibas-kibas tersebut di bawa keluar daripada kandang,yang tinggal di dalam
kandang tetap kelihatan sama banyak bilangannya seperti sebelum seratus ekor di
bawa keluar daripada kandang!
Maka seluruh
alim ulamak penduduk kampung telah beranggapan bahawa pengembala kibas tersebut
adalah seorang aulia' Allah dan mereka telah bermuafakat untuk pergi berjumpa
dengan pengembala kibas tersebut dan memohon supaya dia mengimamkan solat
dimasjid kerana mereka mahu mengambil berkat menjadi makmum kepada pengembala
kibas tersebut.Hasrat mereka telah di persetujui oleh pengembala kibas.
Sembahyangpun di laksanakan di masjid, dan pengembala kibas telah menjadi
imam.Malangnya, semasa membaca surah fatihah dan surah berikutnya, bacaan
beliau tidak sempurna tajwidnya.
Maka setelah
selesai sembahyang,seluruh penduduk kampung telah pulang kerumah masing -masing
sambil ketawa terbahak-bahak kerana mereka berfikiran bahawa tanggapan mereka
terhadap pengembala kibas sebelum ini sebagai aulia'Allah telah jauh
meleset.Pada malam tersebut, seluruh alim ulamak penduduk kampung telah
bermimpi,dan mereka mendapat mimpi yang sama. Datang seorang lelaki yang tinggi
dan kacak di dalam mimpi mereka dan lelaki tersebut telah mengatakan bahawa
seumur hidup mereka bersembahyang, itulah baru kali pertamanya sembahyang
mereka telah diterima Tuhan!Subhanallah! Keesokan harinya, kesemua alim ulamak
penduduk kampung berkumpul di masjid untuk menunaikan sembahyang subuh dan
setelah selesai sembahyang subuh mereka terus menuju ke kandang pengembala
kibas. Malangnya,pengembala kibas telah tiada, kandang dan kibasnyapun telah
tiada.Bekas kandangpun tiada, seolah-olah kandang kibas tidak pernah wujud!
Setelah selesai
menceritakan kisah pengembala kibas, maka kebanyakan anak muridnya telah
menangis kerana mereka tahu mereka telah membuat kesalahan kerana telah
mendahalui Allah dengan merendahkan amalan makhluk Allah yang lain, sedangkan
mereka sendiri tidak tahu akan kedudukan mereka di sisi Allah.Allah Ta'ala
telah berfirman yang sekira - kira bermaksud :"Janganlah engkau semua
melagak - lagakkan dirimu sebagai orang suci. Allah adalah lebih mengetahui
kepada siapa yang sebenarnya bertaqwa.(SurahAn-Najm : 32)


No comments:
Post a Comment