Salah satu petua
untuk mudah ingat sesuatu yang dipelajari ialah dengan menjaga masa
tidur anda. Untuk pengetahuan anda, minda anda lebih mudah ingat sesuatu
jika ia berada dalam keadaan cergas dan segar. Sebab itulah anda selalu dengar
petua untuk menghafal sesuatu di waktu pagi.
Di waktu pagi
selalunya minda anda lebih segar kerana baru sahaja berehat sepanjang
malam. Namun, masalahnya ialah jika anda tidak menjaga masa tidur anda,
minda anda akan sentiasa keletihan dan tidak mampu mengingati sesuatu dengan
mudah.
Saya mahu tanya
anda, pukul berapa anda tidur pada waktu malam? 10? 12? 2 pagi? kebanyakan
pelajar mengatakan mereka tidur antara pukul 10 hingga 12 malam. Ada juga yang
tidur lebih lewat daripada itu. Mengapa? Belajar adalah alasan mereka.
Anda perlu tahu,
minda anda adalah alat utama untuk anda mencapai kejayaan dalam bidang
akademik. Jika seorang pelumba motosikal memerlukan motosikal sebagai alat
utama dan pelumba kereta memerlukan kereta sebagai alat utama, anda perlukan
minda anda. Jika minda anda lemah, sama seperti motor atau kereta yang tidak
berkuasa, pasti tidak boleh memenangi pertandingan.
Jadi anda perlu
dapatkan tidur yang mencukupi. Menurut satu kajian yang saya baca, masa paling
bagus untuk tidur supaya mendapat kesan rehat yang baik ialah sebelum pukul 12
tengah malam. Jika anda tidur dalam pukul 10 atau 11 malam, tubuh anda akan
rasa lebih segar di waktu pagi kerana waktu itu sangat sesuai untuk tubuh
manusia berehat dan tidur. Katakan anda tidur pada pukul 1 atau 2 pagi, tubuh
dan minda anda akan rasa penat walaupun anda bangun lewat keesokan harinya.
Mulai hari ini,
jika anda biasa tidur lewat untuk mengulangkaji, dapatkan satu atau dua hari
dalam seminggu untuk tidur awal (antara pukul 10 hingga 11). Ini akan memberi
tubuh badan dan minda anda masa yang cukup untuk berehat sepenuhnya. Ingat,
tubuh dan minda yang segar akan membuat anda jadi lebih aktif dan mampu
mengingati apa yang anda pelajari dengan lebih mudah.
Satu cara mudah
untuk tidur awal pula ialah dengan melakukan aktiviti riadhah / sukan yang
berat sedikit pada waktu petang. Apabila tubuh anda letih akibat riadhah yang
menyihatkan, anda akan lebih mudah tidur. Dalam masa yang sama, kurangkan tidur
pada waktu siang.


No comments:
Post a Comment