KEdUDUkAN WaNITa dI SIsI AJaRAn AGaMa ISlAm.... (。✪‿✪。)
Sejak zaman dahulu lagi,
kedudukan wanita di seluruh dunia sering menjadi perdebatan umumnya dalam aspek
keagamaan dan hal ini dapat diterjemahkan melalui kedudukan wanita itu sendiri
pada zaman Jahiliyyah (zaman sebelum kedatangan agama Islam). Pada ketika itu,
golongan Arab Jahiliyyah amat mementingkan kekuasaan dan kemuliaan kaum lelaki
dan mereka menganggap bahawa hanya kaum lelaki sahaja yang berhak dan layak
untuk mengetuai sesuatu puak atau kabilah yang boleh memimpin
pengikut-pengikutnya.
Oleh sebab itu, golongan wanita dijadikan sebagai alat untuk melahirkan anak
lelaki semata-mata dan mereka sama sekali tidak mahu zuriat dan keturunan
mereka melahirkan anak perermpuan sedangkan semua ciptaan dan makhluk (termasuk
Allah Taala mencipta lelaki dan perempuan untuk berpasang-pasangan) adalah
urusan Allah Taala. Jadi, golongan Arab Jahiliyyah itu sanggup menanam anak
perempuan mereka hidup-hidup di dalam padang pasir yang gersang kerana ingin
menahan malu dan menjaga maruah dan air muka serta mereka menganggap anak
perempuan ini pembawa sial dan malapetaka kepada keluarga dan kaum kerabat
mereka.
Allah Taala telah
berfirman di dalam Surah An-Nisaa’ ayat 32 yang bermaksud, “Dan janganlah
kamu terharap-harap (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan
kepada sebahagian daripada kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian
yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran).
(Kerana telah tetap) Orang-orang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka
usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian daripada apa yang mereka
usahakan (maka berusahalah kamu) dan mohonlah kepada Allah akan limpah
Kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
Berdasarkan keterangan ayat
tersebut, kita dapat memahami bahawa kebahagiaan hidup di dunia seperti pangkat
dan kedudukan, harta dan segala bentuk rezeki adalah datangnya daripada Allah
Taala, dan semua nikmat dunia itu bukannya datang daripada diri manusia itu
sendiri. Ia adalah satu lumrah dan kebiasaan manusia mendapat nikmat dunia itu
melalui cara usaha dan ikhtiar yang gigih melalui tangan-tangan mereka, namun
keputusan akhirnya nikmat itu bisa dinikmati oleh mereka hanya melalui keizinan
atau kebenaran daripada Allah Taala. Hal ini menunjukkan bahawa nyatalah
ketidakadilan yang digunapakai oleh golongan lelaki Arab Jahiliyyah dalam
melabelkan golongan wanita sebagai golongan yang membawa sial, pengaruh negatif
dan nasib yang malang kepada mereka dan salahnya golongan lelaki Arab Jahiliyyah
itu dalam menginterpretasi atau menafsirkan kedudukan golongan wanita itu
sendiri.
Sesungguhnya, Allah Taala telah berfirman dalam surah Al-Hujurat ayat ke-13
yang bermaksud,“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami (Allah) menciptakan kamu
daripada seorang laki-laki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu
berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal.
Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah yang paling
bertakwa antara kamu. Sesungguhnya Allah adalah al-‘Alim (Maha Mengetahui),
lagi al-Khabir (Maha Mengenal)”. Mengikut firman Allah Taala ini, kita dapat memahami bahawa
penilaian manusia berdasarkan jantina, berbangsa-bangsa dan bersuku kaum tidak
sepatutnya berlaku kerana ia merupakan ciptaan semulajadi Allah Taala telah
anugerahkan kepada manusia.
Melalui keterangan ayat itu juga, kita dapat mengambil pengajaran dan iktibar
bahawa Allah Taala tidak menilai manusia berdasarkan sifat luaran dan fizikal
mereka ataupun bentuk material yang ada pada seseorang manusia itu, sebaliknya
Allah Taala menilai manusia berdasarkan hati dan perbuatannya. Di sini kita
istilahkan ia sebagai takwa. Takwa merujuk kepada sifat dalaman seseorang
manusia itu sama ada dia patuh ataupun tidak kepada perintah dan larangan Allah
Taala berpandu dan berlandaskan dua sumber utama dalam syariat Islam, Al-Quran
dan hadis. Maka, adalah tidak tepat golongan Arab Jahiliyyah mendiskriminasikan
kaum wanita hanya disebabkan sifat fizikal mereka yang lemah dan tidak sekuat
orang lelaki dan manakala sifat dalaman mereka yang lemah-lembut dan penyayang
mengikut fizikal mereka.
Menurut keterangan dan penjelasan yang lain pula, Rasulullah SAW telah
mengangkat kedudukan dan martabat kaum wanita pada zaman Jahiliyyah itu dan
mengembalikan hak-hak mereka semula mengikut syariat Allah Taala, iaitu agama
Islam dan di situlah berkembangnya ajaran Islam yang harmoni, aman dan adil
kepada semua manusia. Mengikut sejarah Islam, ajaran Islam yang dibawa oleh
Rasulullah SAW mula berkembang melalui golongan hamba, fakir miskin dan mereka
yang ditindas serta dizalimi oleh sistem kabilah puak Arab Jahiliyyah yang
ternyata tidak adil kepada golongan yang lemah seperti wanita, orang tua dan
anak-anak kecil yang tidak berdosa. Kita sebagai manusia yang hidup pada zaman
kini seharusnya bersyukur kepada Allah Taala dan memperingati dan perjuangan
yang dilakukan oleh Rasulullah SAW serta mereka-mereka yang memperjuangkan hak
wanita pada zaman ketika dulu. Tanpa perjuangan yang dibawa oleh Nabi kita,
Rasulullah SAW, kita tidak mungkin dapat menikmati hak-hak untuk lelaki dan
wanita bertunjangkan agama Islam yang hakiki.
Kita menyedari hakikat bahawa wanita adalah kaum yang lemah, sensitif dan
berhati penyayang dan disebabkan sifat semulajadi yang terdapat di dalam diri
setiap wanita itulah menyebabkan mereka sering dipergunakan dan diperalatkan
oleh golongan tertentu dan tidak bertanggungjawab. Maka, Allah Taala sebagai
pencipta alam dan langit semesta telah mengutuskan Rasulullah SAW dengan tujuan
utama untuk memperbaik dan memperelokkan akhlak dan budi pekerti manusia. Hal
ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya aku
(Muhammad) diutuskan untuk menyempurnakan akhlak”. Melalui keterangan hadis
ini, jelas menunjukkan kepada kita bahawa agama Islam adalah sebuah agama yang
mementingkan perilaku yang baik, adab sopan yang tinggi dan berakhlak dengan
sifat Mahmudah atau terpuji.
Kedatangan agama ISLAM sebagai agama pembawa rahmat, kasih sayang dan belas
kasihan kepada semua manusia melalui utusan Allah Taala, Nabi Muhammad SAW
adalah untuk menghapuskan budaya dan sistem diskriminasi, perkauman dan
tanggapan prejudis masyarakat Arab Jahiliyyah yang wujud pada zaman itu. Hal
ini disebabkan masyarakat mereka pada masa itu sering merendah-rendahkan dan
memperkotak-katikkan kedudukan wanita sehingga golongan wanita itu dianggap
tidak berharga dan tiada nilai sedikit pun di sisi masyarakat khususnya pada
golongan lelaki Arab Jahiliyyah.
Sebagai kesimpulannya, setiap diri manusia hendaklah berlaku adil kepada diri manusia
yang lain mengikut konteks yang termaktub di dalam Al-Quran dan hadis Nabawi.
Keadilan tanpa mengenal jantina, suku kaum dan puak, warna kulit, bangsa dan
sebagainya merupakan satu keadilan yang sebenar-benarnya dan keadilan
sebeginilah yang mempengaruhi dan diamalkan dalam segenap aspek kehidupan
manusia. Dengan ini, kedudukan wanita dalam Islam mahupun seluruh dunia
diangkat tinggi setaraf sama seperti golongan lelaki dan apa yang membezakan
antara dua golongan itu hanyalah TAKWA.
No comments:
Post a Comment